24
Ogos 2020 sejarah bakal tercipta, sekumpulan anak muda Kg Kuala Sat akan
memulakan 'Ekspedisi Rentis Gunung Milong' (ERGM). Ekspedisi ini disokong
sepenuhnya oleh pihak PERHILITAN khususnya daripada Taman Negara Pahang, Kuala
Tahan dan JKK Kuala Sat. Malah beberapa orang kaki tangan PERHILITAN dan pihak
JKK dijangka turut menyertai ekspedisi tersebut.
ERGM sejarah yang wajar dicatatkan, kerana ekspedisi ini merupakan langkah permulaan dalam mengkomersilkan Gunung Milong sebagai produk pelancongan Kg Kuala Sat, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang. Justeru, antara matlamat ERGM ialah untuk meneroka laluan yang bakal menjadi trek utama kepada para pendaki menuju ke puncak Gunung Milong pada masa akan datang.
Puncak Gunung Milong |
Meskipun lokasinya jauh di dalam hutan, namun Gunung Milong tidaklah asing kepada penduduk Kg Kuala Sat. Sejak sekian lama cerita tentang keindahan gunung tersebut sentiasa meniti dari bibir ke bibir mereka. Ini adalah kerana pada masa lalu Gunung Milong merupakan antara lokasi utama penduduk kampung ini mencari hasil hutan seperti gaharu dan candan.
Pada masa kini atas kesedaran bahawa Gunung Milong warisan yang perlu dipelihara, aktiviti itu tidak lagi dijalankan. Tambahan pula Gunung Milong terletak dalam kawasan Taman Negara, maka menjadi satu kesalahan jika memasukinya tanpa kebenaran. Apatah lagi jika mengambil hasil hutannya.
Warisan yang perlu dipelihara |
Berdasarkan aktiviti mencari gaharu dan candan itu, terdapat kemungkinan bahawa individu terawal yang menemui dan sampai ke puncak Gunung Milong berasal dari Kg Kuala Sat. Dalam hal ini individu tersebut barangkali datang dari Kampung Tumpat iaitu salah satu kampung lama yang berada dalam Kampung Kuala Sat kerana kedudukannya berada paling hampir dengan Gunung Milong. Sayang, catatan sejarah tidak dapat membuktikannya.
Oleh itu peserta yang menyertai ERGM pada 24 Ogos 2020 ini, bolehlah diikatakan sebagai sekumpulan individu terawal yang terlibat dalam merintis trek utama menuju ke puncak Gunung Milong. Lebih daripada itu mereka juga boleh diiktiraf sebagai sekumpulan individu terawal berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Milong melalui program yang diatur secara rasmi melalui kerjasama antara pihak PERHILITAN, Belia Kuala Sat dan JKK Kuala Sat.
Keindahan Gunung Milong |
ERGM bakal mencipta sejarah. Siapa tahu melalui usaha awal pelbagai pihak ini akan menjadikan Gunung Milong destinasi wajib untuk ditawan oleh pendaki profesional seluruh dunia satu hari nanti. Kita tidak dapat menjangkakan apa akan berlaku pada masa depan, namun ERGM adalah satu usaha murni anak watan bagi memahatkan nama 'Gunung Milong' sebaris dengan gunung yang telah terkenal seantero dunia. Setidaknya akan mengekori kehebatan Gunung Tahan yang telah diakui teramat gah itu.
ERGM ekspedisi yang amat ditunggu-tunggu oleh penduduk kampung Kuala Sat. Sebagai penduduk di sebuah kampung yang berada paling hampir dengan Gunung Milong sudah pasti ekpedisi ini amat bermakna bagi mereka. Kini telah berbunga pelbagai impian dan harapan dengan apa yang bakal berlaku didepan mata.
'Rubber Tubing' di Sungai Sat |
Antara impian yang menggunung itu adalah untuk melihat kampung tercinta ini menikmati pelbagai kemajuan dan salah satunya melalui aktiviti pelancongan. Kini ramai penduduk merasakan seolah-olah impian itu akan mampu dikecapi dengan pembukaan Gunung Milong sebagai destinasi pendakian kepada para pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara.
Sejarah
bakal tercipta di Kampung Kuala Sat. Dengan ERGM yang bakal dilaksanakan ini akan
membuka lembaran baru kepada aktiviti pelancongan di Kuala Sat. Gunung Milong
kini menjadi produk pelancongan terulung di kampung ini, sebagai pemangkin
kepada produk sedia ada seperti Santuari Ikan Lubuk Kabung (SILK), Anjung Sat
(AS) dan Sungai Sat (SS).
Keluarga penulis mandi di Anjung Sat pada tahun 2018 |
Jika SILK menyediakan kemudahan kepada pengunjung berenang bersama ribuan ikan, AS menjanjikan kegembiraan mandi manda bersama keluarga di tepian pasir yang mengunjur indah dan SS membolehkan mereka menyertai pelbagai aktiviti sungai yang mencabar, Gunung Milong pula menawarkan pengalaman lebih mengujakan.
Bermula di Kampung Kuala Sat menuju puncak Gunung Milong, para pendaki akan dihidangkan dengan pemandangan yang amat indah. Sebelum perjalanan sebenar bermula, gugusan kampung-kampung kecil di dalam Kampung Kuala Sat seperti Kampung Baru dan Kampung Beneh bakal menyediakan pemandangan unik suasana perkampungan tradisional Melayu berlatar belakangkan Sungai Tembeling dan Sungai Sat.
Bagaimanapun pengalaman lebih menyeronokkan mula dirasai apabila para pendaki menaiki bot di AS untuk memulakan perjalanan menuju Pos Renjer PERHILITAN Kuala Kelapah. Sebelum meneruskan perjalanan para pendaki disaran berhenti seketika di SILK untuk menjamu mata melihat ribuan ikan bagi menghilangkan lelah dan tekanan. Selepas itu perjalanan menjadi lebih mencabar. Bot akan melalui selekoh-selekoh tajam, cegar dan air sungai yang cetek.
Santuari Ikan Lubuk Kabung |
Selanjutnya para pendaki akan melalui Kampung Jipang, Kampung Pueh, Kampung Beluting serta perkampungan yang tidak lagi berpenghuni seperti Kampung Hantu Berbulu, Kampung Kuala Wau, Kampung Tanjung Paku dan Kampung Bunga. Semua perkampungan ini berada dipinggir Sungai Sat, yang membangkitkan suasana nyaman dengan kesejukan dan kejernihan airnya itu.
Ekspedisi Rintis Gunung Milong (ERGM)
Selepas melewati kampung-kampung tersebut, para pendaki akan sampai ke Pos Renjer PERHILITAN Kuala Kelapah. Kuala Kelapah dijangka menjadi 'Tapak Perkhemahan' pertama dalam laluan menuju ke puncak Gunung Milong. Kuala Kelapah juga dijangkakan akan menjadi 'starting point' kepada para pendaki setelah menaiki bot dari Kuala Sat. Secara ringkasnya ERGM sebenarnya bermula di sini.
Selain daripada laluan menuju ke Kuala Kelapah ini, terdapat juga satu jalan lama lain dari Kampung Kuala Wau menuju Kampung Tumpat. Antara perkampungan lama yang dilewati dalam laluan ini ialah Kampung Mali dan Kampung Wau. Semua kampung-kampung ini menawarkan pemandangan mendamaikan kerana dikelilingi sawah padi yang diusahakan oleh penduduknya satu waktu dahulu.
Sebenarnya, pengalaman mengujakan dalam usaha menawan Gunung Milong bermula apabila para pendaki memasuki hutan Taman Negara di Kuala Kelapah. Meredah curam yang tajam, berbatu dan licin dianggap sebagai sesuatu yang lumrah bagi pendaki gunung. Tetapi berada dalam hutan tebal yang diakui sebagai antara tertua di dunia pasti menjanjikan suasana berbeza. Pengalaman penuh cabaran itu sentiasa diimpikan oleh pendaki gunung profesional bagi diabadikan dalam album pendakiannya, iaitu Gunung Milong antara ratusan puncak yang berjaya ditawan oleh mereka.
Menaiki bot menujuj Kuala Kelapah |
Berdasarkan
perjalanan yang dicatatkan dalam artikel ini, pelbagai pertimbangan telah
diambil oleh pihak urusetia ERGM bagi melakar laluan dan trek untuk menuju puncak
Gunung Milong. Antara pertimbangan yang difikirkan ialah dari segi pulangan
ekonomi kepada penduduk setempat tanpa mengenepikan nilai sejarah. Justeru
diharapkan trek yang bakal dirintis bermula dari Kuala Kelapah juga perlu
mengambil kira faktor tersebut, misalnya tidak mengenepikan kewujudan ‘bay-route’
atau ‘ketupat besi’ di Gunung Milong yang menjadi buruan sesetengah pendaki
gunung.
'Bay-Route' Gunung Milong |
Akhirnya semua peserta ekspedisi dijangka akan sampai ke puncak Gunung Milong pada 26 Ogos 2020 dan ekspedisi akan berakhir pada 27 Ogos 2020. Didoakan agar semua peserta terus bermotivasi serta sentiasa mengekalkan tahap fizikal, mental dan spiritual yang tinggi sepanjang ERGM. Moga-moga berjaya melaksana misi yang digariskan, seterusnya semua peserta ekpedisi kembali dalam keadaan selamat.
Kepada mereka yang menjayakan ERGM sama ada secara langsung atau tidak langsung ribuan terima kasih diucapkan. Penghargaan tidak terhingga diberikan kepada pihak PERHILITAN dan Belia Kuala Sat yang menjadi tunjang dalam menjayakan ekspedisi ini. Penghargaan juga wajar dilontarkan kepada mereka yang berada di belakang tabir dalam ERGM ini. Kalian adalah wira yang tidak didendang, tetapi usaha dan peranan yang dimainkan sangat bermakna bagi kemajuan desa tercinta ini.
'Demi Desa Tercinta, Kuala Sat'
Terima kasih kepada penyumbang foto dalam artikel ini:
Encik
Suhaimi bin Mat Amin
Encik
Alias bin Abdullah Hashim
Artikel ditulis oleh:
Ismail
bin Ahmad
Anak
jati Kg Kuala Sat