Tuesday, 5 March 2019

Baseq uRag dRrulug BHG 1

"speak up! don't be shy"


Apakah dimaksudkan dengan 'uRag dRulug'? Kenapakah 'Baseq uRag dRulug' dikatakan sebagai dialek yang unik? Apakah pendapat pengkaji berkenaan 'Baseq uRag dRulug'? Sejauh mana kaitan 'Baseq uRag dRulug' dengan dialek-dialek lain dalam negeri Pahang?

Semua persoalan itu akan terjawab melalui siri 'Baseq uRag dRulug' yang unik ini. Saya akan merungkaikan semua persoalan itu berasaskan pengalaman sendiri sebagai anak jati Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang. Bagi memantapkan lagi siri ini beberapa kajian daripada ahli akademik berkaitan bahasa dan dialek turut diteliti. Selain itu beberapa blog yang ada kaitan dengan Ulu Tembeling dan lima group whatsapp daripada 'geng-geng' Ulu Tembeling juga dijadikan sumber rujukan utama.

Akhir sekali dengan bantuan salah seorang anak buah iaitu saudara Syahziril bin Sharif (SBS) kami telah mendokumentasikan beberapa istilah 'Baseq uRag dRulug' untuk dipaparkan dalam blog ini. Thanks a lot Mr. SBS.

Melapoh kerebo de Kole Sat taun 2006 

'uRag dRrulug' adalah dialek pedalaman Ulu Tembeling di Pahang bererti 'Orang di Ulu'. Walaupun terdapat loghat pertuturan berbeza diantara beberapa kampong @ Gusai, Mat Daling, Kg. Bantai, Kuala Sat serta Kg. Pagi namun memahami antara satu sama lain dan merasakan bahawa kami tetaplah satu.

bersambung...

Saturday, 2 March 2019

Cikgu-Cikgu di Kuala Sat (1980an)

'Hilir ke Kuala Tembeling' adalah satu ungkapan yang biasa diucapkan oleh penduduk kampung kami pada ketika itu untuk memberi gambaran kepada mereka yang mahu turun ke pekan Kuala Tembeling dengan menaiki bot.  Tempoh perjalanan biasanya mengambil masa antara 6 ke 8 jam bergantung kepada saratnya bot dinaiki dan jenis enjin digunakan.  

Begitu juga dengan semua cikgu daripada luar yang mengajar di kampung kami akan melalui pengalaman sama.  Semua cikgu akan hilir ke Kuala Tembeling untuk balik ke kampung masing-masing semasa cuti sekolah. Daripada pekan Kuala Tembeling mereka akan menaiki teksi atau 'kereta sapu' untuk ke bandar Jerantut yang mengambil masa antara 30 ke 45 minit.  Kemudian semua cikgu akan menuju ke kampung masing-masing di serata tanah air dengan menaiki sama ada teksi, bas atau kereta api di bandar Jerantut. 

                                                                         Image via Ismail Juned
Sebahagian daripada cikgu di Sekolah Kebangsaan Kuala Sat pada tahun 1982/1983

Pada ketika itu cikgu-cikgu jarang memandu kereta sendiri kerana ramai daripada mereka berasal daripada luar negeri Pahang.  Lagipun adalah mustahil untuk meninggalkan kereta di Kuala Tembeling dalam tempoh yang lama.  Ini adalah kerana kebiasaannya mereka hanya hilir ke Kuala Tembeling apabila tiba musim cuti yang panjang sahaja. Kalau adapun cikgu yang memandu kereta sendiri hanyalah mereka yang tinggal berhampiran dengan Pekan Kuala Tembeling dan Bandar Jerantut. Terima kasih cikgu atas pengorbanan kalian yang tidak mampu kami balas.

                                                                        Image via Ismail Juned
Murid-murid Sekolah Kebangsaan Kuala Sat menghantar cikgu 'hilir ke Kuala Tembeling' semasa cuti sekolah

                                                                        Image via Ismail Juned
Hilir ke Kuala Tembeling

                                                                        Image via Ismail Juned
Zaman kegemilangan pekan Kuala Tembeling tahun 1982
      
Di bawah ini dipaparkan video kisah beberapa orang cikgu daripada luar yang bertugas di kampung kami iaitu di Sekolah Kebangsaan Kampung Kuala Sat.  Video yang menyentuh hati itu turut memaparkan suasana ketika Cikgu Ismail  buat pertama kalinya menaiki bot daripada pekan Kuala Tembeling mudik ke kampung kami.  Selain itu Cikgu Ismail turut merakamkan pengalamannya sepanjang berada di kampung kami.  Kemesraan Cikgu Ismail yang berasal daripada Johor dan semua cikgu pada ketika itu dengan penduduk kampung amat diingati.  

Dalam video itu juga turut kelihatan 'Sir Khalid' atau Cikgu Khalid yang begitu besar jasanya dalam mendidik kami.  Cikgu Khalid berasal daripada Kampung Lubok Cina, Alor Gajah, Melaka dan telah bertemu jodoh dengan salah seorang penduduk kampung kami yang lebih dikenali dengan panggilan Ngah Amin. Cikgu Khalid telah kembali ke rahmatullah  dan disemadikan di tanah perkuburan kampung kami. Al-Fatihan.